SEBELUM 10 Januari lalu, Muhammad Syukur Khamis, 14, cuma budak kampung biasa yang berwajah polos, berhati lurus dan tekun membantu bapanya mengusahakan haiwan ternakan seperti kerbau, lembu, kambing dan angsa di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.
Setiap pagi, pelajar tingkatan dua itu akan berbasikal sejauh hampir enam kilometer ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu.
Sebaik menyelesaikan kerja sekolah setiap petang, remaja itu akan ke kandang ternakan bapanya pula di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.
Rutin setiap hari sejak Muhammad Syukur berusia empat tahun menjadikan dia akrab dengan ternakan bapanya, Khamis Jusoh, 63, sehingga menarik perhatian jurugambar profesional dan amatur untuk menjadikan ia sebagai subjek foto.
Rezeki bagi remaja itu apabila beberapa foto dia bermesra bersama sekumpulan kerbau bapanya yang dirakam jurugambar, Mohd. Nazri Sulaiman dua tahun lalu telah memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic-Image of Asia 2018’ dan ‘Remarkable Award’ di Siena
International Photography Award 2018, Itali baru-baru ini.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kemudiannya memuat naik gambar tersebut dalam akaun Facebooknya dengan status memuji keakraban Muhammad Syukur bersama kerbau sehingga tular di media sosial.
Sejak itu, kehidupan Muhammad Syukur berubah 360 darjah. Dia bukan sahaja mendapat perhatian istimewa daripada rakan-rakan sekampung dan sekolah malah rumahnya juga didatangi beratus-ratus tetamu setiap minggu untuk bertemu dan merakam gambar fotogeniknya bersama haiwan ternakan.
Wakil Kerajaan Negeri Terengganu juga mengunjungi kandang ternakan bapanya untuk melihat potensi sebagai lokasi pelancongan komuniti.
Pendedahan tersebut adalah sesuatu yang baharu buat Muhammad Syukur dan ia jelas dapat dilihat daripada raut wajahnya apabila dinobatkan anugerah Murid Unggul oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu.
Perkara itu disentuh Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad yang mengakui di sebalik usaha untuk menghargai bakat unik Muhammad Syukur, hakikat yang tidak boleh dilupakan remaja itu baru berusia 14 tahun dan masih mentah dengan situasi baharu tersebut.
Katanya, pelajar itu yang kini semakin dikenali dengan gelaran ‘Mowgli Malaysia’ memerlukan bimbingan guru dan ahli keluarga untuk menghadapi kilauan publisiti yang terlalu mendadak.
“Apa yang penting Muhammad Syukur perlu mengilapkan lagi personaliti unik yang kini dimiliknya agar membesar sebagai individu berjaya apabila dewasa kelak,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sementara itu bapanya, Khamis memberitahu, setiap hari rumahnya akan dikunjungi tetamu yang mahu merakam gambar anak bongsunya itu bersama haiwan ternakannya.
Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga individu berkunjung ke kandang kerbaunya pada hari persekolahan manakala ia akan meningkat sehingga 300 orang pada hujung minggu.
“Saya akui jadual Syukur terlalu padat hampir setiap hari. Kadangkala kami sekeluarga terpaksa tolak temu janji pihak tertentu sehingga segelintir mereka anggap kami mula sombong dan pilih kasih.
“Apa pun saya sekeluarga perlu tegas untuk membenarkan sesi fotografi diadakan pada hari persekolahan pada pukul 6 petang hingga 7 petang sahaja kerana keutamaannya masih kepada pelajaran,” ujarnya.
Khamis yang juga bapa kepada lapan anak berkata, dia tidak mahu Muhammad Syukur hilang fokus dan keciciran dalam pelajarannya.
Dalam pada itu, jurugambar sambilan, Abdullah Deen Mohd. Zain, 44, yang merupakan antara jurugambar terawal yang merakam momen Muhammad Syukur bersama haiwan ternakan mengakui turut menerima tempias publisiti remaja berkenaan.
Ujar beliau, kariernya sebagai jurugambar bukan sahaja makin dikenali malah telah menerima banyak permintaan untuk membeli karya-karyanya terutama melibatkan foto Muhammad Syukur.
No comments:
Post a Comment