Translate

Saturday, January 12, 2019

Perlembagaan tidak akan dipinda

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan tidak akan meminda Perlembagaan ber­hubung pelantikan Yang di-Pertuan Agong biarpun Sultan Muhammad V meletakkan jawat­an secara mengejut yang me­nyaksikan pertama kali ia berlaku dalam sejarah kepimpinan negara.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dilakukan secara tertib dan mengikut Perlembagaan.

“Kerajaan (Persekutuan) tidak campur tangan dalam perkara ini dan menerima sahaja apa keputusan dibuat raja-raja.

“Saya harap (pelantikan baharu) dapat dilakukan secepat mungkin kerana sebagai Perdana Menteri, saya perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu di sini semalam.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu menambah, hanya Majlis Raja-Raja berhak memutuskan untuk melantik Yang di-Pertuan Agong baharu bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang sepatutnya menjawat jawatan itu sehingga tahun 2021.

Menurut Dr. Mahathir, walaupun mengikut adat sudah ada sistem giliran dalam kalangan raja-raja Melayu mengikut susunan pusingan pertama terdahulu, Majlis Raja-Raja tidak terikat dengannya dan bebas membuat keputusan lain.

“Saya tidak begitu terkejut dengan pengumuman peletakan jawatan Sultan Muhammad V kerana telah mende­ngar khabar angin mengenainya sebelum ini,” katanya.

Begitupun, beliau berkata, tidak molek beliau sebagai rak­yat jelata membuat kenyataan berhubung khabar angin tersebut yang tidak diketahui kesahihannya.

“Saya juga nasihatkan rakyat agar menyerahkan isu pengganti Yang di-Pertuan Agong kepada Majlis Raja-Raja untuk diputuskan. Rakyat tidak diberi hak untuk memilih (Yang di-Pertuan Agong), kita terima sahaja keputusan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Kelmarin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz memaklumkan Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menerusi warkah yang telah diutus kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Sultan Muhammad V ditabal sebagai Yang di-Pertuan ­Agong ke-15 pada 24 April 2017 selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 13 Disember 2016.

No comments:

Post a Comment