Translate

Wednesday, January 9, 2019

Suami isteri bersyukur lahir anak kembar secara IVF

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU –­  Pe­nantian penuh sabar selama lapan tahun pasangan Zairi ­Anuar Zakaria, 36, dan Nurfidiamil Razali, 35, untuk mendapatkan zuriat berakhir selepas mereka dikurnia­kan bayi kembar lelaki dan pe­rempuan pada Ahad lalu.

Tambah istimewa, bayi kembar yang dilahirkan pukul 11.28 pagi dan 11.29 pagi itu merupakan kelahiran ke-100 dan 101 menerusi kaedah perse­nyawaan in-vitro (IVF) di Unit Rawatan Reproduktif, Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ), di sini sejak ia mula beroperasi pada 10 tahun lalu.

Pasangan itu yang berasal dari Kampung Tok Randok, Ajil, Hulu Terengganu mendapat rawatan kesuburan di hospital berkenaan pada tahun 2016 dan disahkan hamil setelah menjalani rawatan IVF menerusi pemindahan ­embrio beku pada 3 Mei 2018.

Nurfidiamil yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Pusat Ternakan Haiwan Tersat, Hulu Terengganu berkata, sebelum itu, beliau dan suami dia dicadangkan untuk menjalani IVF setelah rawatan kesuburan menerusi kaedah pemanian ber­hadas (IUI) tidak berjaya.

“Saya menjalani tiga kal rawatan IVF sebelum disahkan hamil. Bagi memastikan ia berjaya, saya dan suami membuat persediaan fizikal termasuk menjaga pemakanan dan kerohanian sebelum dan sepanjang proses kehamilan tersebut,” katanya selepas diraikan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohd. Jusoh di Pusat Rawatan Ibu dan Anak, HSNZ di sini semalam.

Sementara itu, Mohd. memberitahu, bayi pasangan Zairi Anuar dan Nurfidiamil merupakan pasangan kembar lelaki dan perempuan yang ketiga dilahirkan menerusi kaedah IVF di HSNZ sejak kelahiran pertama pada 31 Ogos 2010.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 52 bayi lelaki dan 49 bayi perempuan telah berjaya dilahirkan menerusi kaedah IVF di hospital itu.

No comments:

Post a Comment