Translate

Saturday, January 26, 2019

Pertis buka pusat memanah untuk orang buta

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kekurangan diri akibat masalah penglihatan tidak menjadi halangan kepada 51 ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu untuk terlibat dalam sukan memanah tradisional.

Pertis mengambil inisiatif membuka pusat memanah khas untuk golongan orang kurang upaya masalah penglihatan difahamkan pertama di negara ini di kawasan seluas 487.68 meter persegi di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini bagi memenuhi hasrat ahli-ahlinya itu.

Pengerusi Pertis Wilayah Terengganu, Mohd. Fauzi Mansor berkata, pusat memanah yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihaknya tersebut telah mengadaptasi sistem sukan memanah untuk orang buta yang telah digunapakai di Britain dan Perancis.

"Pemanah terdiri daripada individu masalah penglihatan akan dibantu untuk melepaskan anak panah ke sasaran dengan bantuan garisan penunjuk diperbuat daripada paip plastik dan bantuan minimum oleh jurupandu arah yang merupakan individu normal.

"Ia membuktikan orang buta juga boleh menceburi sukan memanah bukan sahaja sebagai aktiviti riadah tetapi  juga sunnah yang digalakkan Nabi Muhammad," katanya kepada pemberita.


Terdahulu beliau ditemui selepas menyaksikan perasmian pusat memanah tersebut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah di Kampung Telaga Daing, Seberang Takir di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment