Translate

Thursday, January 3, 2019

Bot penambang Seberang Takir akan dijenamakan semula

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu akan menjenamakan semula bot penambang Seberang Takir dengan memperkenalkan pakej Jejak Warisan Pesisir Air iaitu menyelusuri Sungai Terengganu dari muara hingga ke Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menonjolkan keunikan industri bot penambang Seberang Takir yang kini sudah berusia lebih 60 tahun selain keindahan pesisir Sungai Terengganu.

Beliau berkata, pengusaha bot penambang yang menawarkan perkhidmatan penumpang menyeberang dari Jeti Seberang Takir ke Pasar Payang dengan caj RM1 satu perjalanan kini sudah berkurangan kepada 17 berbanding 70 pada masa dahulu ekoran peredaran masa.

"Kerajaan negeri melihat perlunya transformasi perkhidmatan bot penambang tradisional ini sebagai satu produk pelancongan yang bukan sahaja mampu menggamit pengunjung mengenali produk persisir air Sungai Terengganu malah menonjolkan keunikan bot itu sebagai warisan Terengganu.

"Pakej Jejak Warisan Pesisir Air itu dicadang menyusuri lokasi pelancongan di sepanjang muara Sungai Terengganu seperti Pasar Payang, Kampung Cina, Taman Tamadun Islam, Kampung Jeram, perkampungan keropok losong Rumah Warisan Haji Su dan Muzium Terengganu," katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif berjumlah keseluruhan RM19,000 kepada 17 pengusaha bot penambang Seberang Takir berkenaan di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment