Translate

Tuesday, January 1, 2019

‘Tiga anak kami pergi selamanya’

DUNGUN – Tahun 2018 yang menutup tirainya semalam meninggalkan kenangan sedih buat sepasang suami isteri yang kehilangan tiga anak perempuan sekali gus dalam kejadian lemas di Pantai Sura di sini kelmarin.

Zawawi Abd. Wahab, 42, dan isterinya, Nur Syahida Abdullah, 36, mengakui mereka begitu terkesan apabila hanya mampu melihat satu demi satu anaknya di bawa naik oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas ditemui mati lemas.

Lebih memilukan apabila Nur Syahida hampir pengsan dan terpaksa dipapah Zawawi sebaik melihat kesemua jenazah anaknya yang lengkap ditutupi dengan kain putih diusung untuk dibawa ke Hospital Dungun bagi tujuan bedah siasat.

Tiga anak pasangan itu yang lemas dalam kejadian lewat petang kelmarin ialah Nurain Fatma, 10; Nurain Sofia, 8, dan Nurain Salsabila.

Zawawi yang berasal dari Kampung Pangkal Pisang, Peringat, Kelantan berkata, ketiga-tiga anaknya itu mengikut ibu saudara mereka, Suriani Abdullah, 41, serta ahli keluarganya bercuti di bandar ini pada kelmarin.

“Saya dan isteri tidak ikut serta kerana masih keletihan selepas baru pulang bercuti dari Hatyai, Thailand pada kelmarin (Sabtu) selain menyiapkan persediaan persekolahan mereka yang dijadualkan bermula esok (hari ini).

“Masih terbayang-bayang ke­gembiraan Nurain Fatma dan dua adiknya yang masing-masing akan memasuki darjah lima, tiga dan satu mengambil buku teks mereka di Sekolah Kebangsaan Perol, Pe­ringat semalam (kelmarin) sebelum mereka berangkat ke Dungun,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Rumah Mayat Hospital Dungun di sini semalam.
Zawawi berkata, beliau dan isteri bergegas ke Dungun dari rumah pada pukul 7 malam kelmarin sebaik mengetahui insiden ketiga-tiga anaknya ditarik ombak besar sewaktu bermain di gigi Pantai Pantai Sura.

Menurut beliau, berdasarkan cerita ahli keluarganya yang turut berada di lokasi kejadian, insiden pada pukul 6.40 petang itu berlaku dengan pantas.

“Saya diberitahu, mula-mula Nurain Sofia dan adiknya Nurain Salsabila ditarik ombak besar ke tengah laut.
“Kakak mereka, Nurain Fatma yang menyaksikan kejadian segera terjun ke laut untuk menyelamatkan adik-adiknya namun gagal seterusnya turut sama dihanyutkan arus deras,” ujarnya dengan hiba.

Begitu pun, Zawawi berkata, beliau reda dengan takdir kehilangan ketiga-tiga anak sekali gus walaupun ia merupakan ujian yang amat berat buat keluarganya.
Ujar beliau, jenazah Nurain Fatma, Nurain Sofia dan Nurain Salsabila dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Rahmat, Lubuk Setol, Rantai Panjang, Kelantan untuk dikebumikan.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, mayat Nurain Sofia mula-mula dijumpai pasukan mencari dan menyelamat kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian pada pukul 7.30 pagi semalam.

Tambah beliau, mayat Nurain Salsabila dan Nurain Fatma pula ditemui masing-masing pada kedudukan 1.5 kilometer (km) dan 3km dari lokasi mereka hilang pada pukul 9.20 pagi dan 11.05 pagi.

No comments:

Post a Comment