Translate

Sunday, January 27, 2019

Permohonan Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera dibuka mulai 1 Februari depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Permohonan untuk program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang menawarkan lesen motosikal B2 secara percuma kepada belia negeri ini bakal dibuka mulai 1 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, seramai 25,000 belia kelahiran negeri ini dalam lingkungan 16 hingga 40 tahun yang masih belum memiliki lesen berkenaan disasar untuk menerima manfaat tersebut.

"Program LMTS telah diluluskan menerusi Bajet 2019 dengan peruntukan RM7 juta merupakan salah satu manifesto Pas sekiranya menjadi kerajaan negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

"Permohonan untuk program yang bertujuan untuk meringankan beban rakyat negeri ini akan dibuka secara manual dan atas talian selama sebulan mulai 1 Februari depan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Mingguan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Wan Sukairi berkata, borang permohonan program LMTS boleh diperolehi di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan masing-masing di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, permohonan tersebut juga telah dibuat menerusi atas talian di laman web, http://idana.terengganu.gov.my mulai 1 Februari depan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment