Translate

Wednesday, January 2, 2019

Pasang lebih banyak tanda amaran

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu akan memasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan berisiko susulan kejadian menyayat hati yang mengorbankan tiga beradik di Pantai Sura, Dungun kelmarin.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan proaktif perlu diambil bagi meminimumkan kejadian yang meragut nyawa terutamanya di kawasan pantai, sungai dan air terjun.
“Struktur dan paras air laut dan sungai di Terengganu agak berbeza-beza mengikut bulan, sebab itu para pengunjung perlu mendengar pandangan penduduk tempatan terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti air bersama anak-anak.

“Bagaimanapun, di pihak kerajaan negeri, kita juga akan mengambil langkah proaktif dengan menyediakan papan tanda amaran di lokasi berisiko bagi menghalang daripada kejadian lemas berlaku,” katanya ketika ditemui selepas meninjau hari pertama persekolahan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud yang juga merupakan sekolah lamanya di sini semalam.

Ahmad Samsuri berkata, pemasangan papan tanda amaran di semua kawasan air berisiko meliputi pantai, sungai dan air terjun bertujuan untuk memberi peringatan dan panduan kepada orang ramai terutama pelancong sebelum melakukan sebarang aktiviti air.

Jelas beliau, usaha itu tidak bertujuan menghalang orang ramai termasuk pelancong daripada menikmati keindahan panorama alam sekitar di lokasi tersebut.
Mengulas mengenai tragedi yang mengorbankan tiga beradik iaitu Nurain Fatma, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Salsabila, 6, beliau melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa.

“Ia merupakan satu tragedi yang kita tidak inginkan dan saya seru keluarga tiga anak-anak ini supaya bersabar de­ngan dugaan Allah,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan tiga beradik yang merupakan anak Zawawi Abd. Wahab, 42, dan Nur Syahida Abdullah, 36, ditemui lemas selepas ditarik ombak besar ketika bermain di gigi Pantai Sura, Dungun.

Sewaktu kejadian, mereka yang berasal dari Kampung Pangkal Pisang, Peringat, Kelantan mengikut ibu saudara mereka bercuti di bandar Dungun tanpa kehadiran ibu bapa.

Sementara itu, Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu kenyataan semalam berkata, ibu bapa serta orang dewasa perlu sentiasa memantau anak mereka dan kanak-kanak lain ketika berada di kawasan pantai atau lokasi rekreasi air.
“Walaupun musim tengkujuh kali ini tidak serius seperti beberapa tahun lepas, kita harus menanam azam di tahun baharu ini untuk mencapai sifar lemas atau sekurang-kurangnya me­ngurangkan jumlah kes setiap tahun,” jelasnya.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu memahami dan mematuhi amaran yang diberikan oleh pihak berkuasa di kawasan laut.

“Bendera putih yang dinaikkan menunjukkan keadaan laut adalah selamat untuk berenang dan melakukan aktiviti di dalam air manakala bendera merah merupakan amaran kepada semua untuk menjauhkan diri dari air,” katanya.

No comments:

Post a Comment