DUNGUN - Tiga beradik perempuan berusia antara enam hingga 10 tahun dikhuatiri lemas selepas mereka ditarik ombak besar di Pantai Teluk Gadung berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Sura di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, Nurain Fatma Zawawi, 10; Nurain Sofia, 8 dan Nurain Salsabila, 6, sedang bermain di gigi pantai terbabit.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, ketiga-tiga beradik itu pergi ke Pantai Teluk Gadung itu bersama seorang ibu saudaranya untuk beriadah.
"Sewaktu berjalan-jalan di tepi pantai berkenaan, Nurain Sofia dan Nurain Salsabila dikatakan hanyut ke dalam laut selepas di tarik ombak besar yang datang tiba-tiba.
"Kakak mereka, Nurain Fatma cuba menyelamatkan kedua-dua adiknya turut dihanyutkan ke tengah laut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Baharudin berkata, pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai pelbagai agensi dan penduduk kampung segera ditubuhkan sejurus menerima maklumat berhubung insiden itu.
Ujar beliau, setakat pukul 9 malam, ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui dan gerakan mencari masih diteruskan.
Difahamkan tiga beradik itu yang berasal dari Kelantan mengikut keluarganya bercuti di bandar ini dan menginap di sebuah inap desa berhampiran lokasi kejadian. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment