Translate

Tuesday, January 15, 2019

Tuah bersahabat dengan haiwan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang remaja lelaki tidak menyangka keakrabannya bersama haiwan ternakan bapanya di Kampung Kubang Bujuk di sini bukan sahaja menjadi tumpuan jurugambar malah telah menjadikannya terkenal hingga ke seluruh dunia.

Muhammad Syukur Khamis, 14, menjadi terkenal dalam sekelip mata apabila gambarnya bermesra bersama sekumpulan kerbau peliharaan memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic - Image of Asia 2018’ dan ‘Remarkable Award’ di Siena International Photography Award 2018, Itali baru-baru ini.

Gambar yang diambil jurugambar, Mohd. Nazri Sulaiman pada dua tahun lalu itu tular sejak kelmarin.
Gambar itu turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sehingga memuat naik status yang memuji keakraban Muhammad Syu­kur bersama kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 63, yang disifatkannya begitu ikhlas.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini itu berkata, dia memang rapat dengan haiwan ternakan bapanya seperti kerbau, lembu, kambing dan angsa ke­rana sudah bercampur de­ngan mereka sejak berusia empat tahun lagi.

“Mereka mendengar kata dan kenal tuan kerana sudah biasa dengan saya. Saya rapat de­ngan semua haiwan peliharaan namun jurugambar lebih berminat memilih kerbau kerana jumlah­nya yang banyak mencecah 100 ekor.

“Kerbau yang rapat bernama Awang namun ia telah mati baru-baru ini. Kalau kambing pula, saya rapat dengan Saat dan sering menyusukan dan tidur bersama haiwan itu yang kematian ibu ketika ia berusia tiga hari,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Banggol Katong di sini semalam.

Tambahnya, dia sering menjadi tumpuan jurugambar termasuk dari Amerika Syarikat dan India untuk membidik aksi ligatnya bersama haiwan-haiwan ternakan bapanya sejak tahun 2016.

Menurut anak bongsu daripada lapan beradik itu, dia dan keluarganya tidak pernah menetapkan sebarang bayaran walaupun sebahagian foto aksi mesranya bersama haiwan ternakan memenangi pelbagai anugerah termasuk di peringkat antarabangsa.

“Ada juga jurugambar yang memberi sedikit bayaran yang kini jumlah­nya hampir RM1,000. Kesemuanya saya simpan,” katanya yang berazam untuk menjadi penternak seperti bapanya.

Ujar Muhammad Syukur, dia begitu seronok apabila gambarnya menjadi tular sejak kelmarin hingga menyebabkan dia terkenal kerana sebelum ini dia sering diejek kerana pekerjaan ayahnya itu.

No comments:

Post a Comment