Translate

Sunday, January 27, 2019

Sebahagian Jalan Ajil - Jerangau ditutup akibat mendapan tanah

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Sebahagian Jalan Ajil - Jerangau berhampiran Sekolah Kebangsaan Perah di Kampung Pela, Ajil di sini terpaksa ditutup kepada pengguna jalan raya akibat kejadian tanah runtuh lewat malam tadi.

Lubang sebesar kira-kira dua meter itu di laluan berkenaan yang berlaku pada pukul 11.50 malam tersebut dipercayai terjadi akibat mendapan tanah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian kira-kira sembilan minit kemudian selepas menerima maklumat tentang kejadian tanah runtuh berkenaan.

"Hasil perbincangan dengan wakil syarikat penyelenggaraan jalan raya, Roadcare (M) Sdn. Bhd., kita mengambil keputusan untuk menutup sepenuhnya laluan berkenaan untuk kegunaan semua pengguna mulai pukul 1.20 pagi tadi.

"Papan tanda pemberitahuan telah dipasang di persimpangan Bukit Besi, Dungun dan lampu isyarat pekan Ajil di sini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata,  buat sementara waktu, pengguna boleh menggunakan tiga jalan alternatif iaitu Jalan Kampung Tok Dor - Kampung Mok Mek,  Felda Bukit Bading; persimpangan lampu isyarat Ajil – Bukit Perah – Marang dan Bukit Besi – Jerangau – Kuala Dungun.


Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan jalan sedang dilakukan Roadcare manakala punca pemendapan jalan tersebut sedang disiasat. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment