Translate

Thursday, January 31, 2019

Bot penambang Seberang Takir dijenamakan semula

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu akan menjenamakan semula bot penambang Seberang Takir dengan memperkenalkan pakej Jejak Warisan Pesisir Air iaitu menyelusuri Sungai Terengganu dari muara hingga ke Kampung Je­ram, Manir, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu bertujuan untuk menonjolkan keunikan industri bot penambang Seberang Takir yang kini sudah berusia lebih 60 tahun selain keindahan pesisir Sungai Terengganu.

Beliau berkata, pengusaha bot penambang yang menawarkan per­khidmatan menyeberang sungai dari Jeti Seberang Takir ke Pasar Payang de­ngan caj RM1 bagi satu perjalanan kini sudah berkurangan kepada 17 orang berbanding 70 orang pada masa dahulu ekoran peredaran masa.

“Kerajaan negeri melihat perlunya transformasi perkhidmatan bot penambang tradisional ini sebagai satu produk pelancongan yang bukan sahaja mampu menggamit pengunjung mengenali produk pesisir air Sungai Terengganu, malah menonjolkan keunikan bot itu sebagai warisan Terengganu.
“Pakej Jejak Warisan Pesisir Air itu dicadang menyusuri lokasi pelanco­ngan di sepanjang muara Sungai Terengganu seperti Pasar Payang, Kampung Cina, Taman Tamadun Islam, Kampung Jeram, perkampungan keropok losong Rumah Warisan Haji Su dan Muzium Terengganu,” katanya kepada pembe­rita selepas menyampaikan insentif berjumlah keseluruhan RM19,000 kepada 17 pengusaha bot penambang Seberang Takir berkenaan di sini semalam.

Ariffin berkata, pengusaha bot penambang terlibat akan menjalani latihan seperti keusahawanan, bahasa Inggeris, etika dan sistem lalu lintas air sebagai persediaan bagi menawarkan pakej pelancongan terbaharu terbabit.

No comments:

Post a Comment