Translate

Wednesday, January 23, 2019

JPJ serbu lori bawa muatan bijih besi elak sekatan jalan raya

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Helah operator lori membawa bijih besi disyaki lebih muatan mengelak sekatan jalan raya di Jalan Kuala Jenering-Aring dekat sini tidak berhasil apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak menyerbu 'lokasi penyembunyian' mereka hari ini.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yassin berkata, sekatan jalan raya menerusi operasi bersepadu diketuai agensinya di FT 36 Seksyen 12 Jalan Kuala Jenering -Aring 8 berhampiran Pengkalan Gawi dekat sini sejak Rabu lalu mendapati tidak banyak lori membawa bijih besi melaluinya.

Tambah beliau, tiada satu pun lori bijih besi atau amang melalui sekatan jalan raya tersebut sejak dua hari lalu sedangkan kebiasaannya ia merupakan laluan utama kenderaan terbabit sehingga mendapat aduan penyebab utama kerosakan jalan di jalan berkenaan.

"Risikan kemudiannya mendapati banyak operator lori bijih besi itu bertindak memberhentikan kenderaan mereka di Seksyen 40 Jalan Kuala Jenering-Aring 8 yang terletak kira-kira 30 kilometer dari lokasi sekatan jalan raya dipercayai untuk mengelak daripada diperiksa.

"Hari ini kita telah serbu lokasi dan terbukti terdapat lebih 10 lori membawa bijih besi 'tersadai' di lokasi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Tutup di Pengkalan Gawi dekat sini hari ini.


Zulkarnain berkata, pemeriksaan awal mendapati kebanyakan lori yang ditinggalkan di tepi jalan itu bukan sahaja disyaki membawa lebih muatan malah melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tamat cukai jalan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment