MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Terengganu Ladies meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan pencabar terdekat, Blue Warriors 3-2 pada aksi ketiga Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) 2019 di Stadium Hoki Batu Burok di sini sebentar tadi.
Bekas tonggak kebangsaan, Siti Rahmah Othman yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-33 hari ini, muncul wira apabila meledak gol kemenangan Terengganu Ladies ketika aksi berbaki enam minit untuk tamat.
Dua lagi gol pasukan bimbingan Iman Gobinathan itu diperoleh menerusi jaringan import Kazakhstan, Vera Domashneva dan Nur Syuhada Suhaimi.
Blue Warriors yang merupakan juara Piala Vivian May Soars tahun lalu, terpaksa akur pulang dengan tangan kosong apabila sekadar menjaringkan dua gol menerusi Norbaini Hashim dan Norazlin Sumantri.
Sementara itu, PKS Uniten bernasib baik apabila satu gol jaringan Hanis Nadiah Onn membolehkan skuad juara bertahan tersebut menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) Wipers di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Gol tunggal penyerang skuad kebangsaan pada minit ke-13 itu melegakan PKS Uniten kerana perlawanan tersebut terpaksa ditamatkan awal susulan hujan lebat selepas tamat separuh masa pertama menyebabkan permainan tidak dapat diteruskan. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment