KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menggesa kerajaan Persekutuan agar segera melunaskan baki pembayaran royalti petroleum dianggarkan berjumlah RM250 juta yang sepatutnya diterima sebelum akhir tahun ini.
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri belum menerima baki pembayaran royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan yang kini diterajui Pakatan Harapan walaupun tahun 2018 bakal berakhir hari ini.
Menurutnya, Terengganu telah menerima royalti petroleum berjumlah RM450 juta menerusi tiga kali pembayaran oleh Kementerian Kewangan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.
“Walaupun tidak mengetahui amaun sebenar, baki yang masih tertinggal dianggarkan kira-kira RM250 juta mengikut pengiraan kasar.
“Royalti petroleum ini atau wang ihsan atau apa pun namanya, ia merupakan hak rakyat Terengganu berdasarkan perjanjian yang telah ditandatangani antara kerajaan negeri, Petronas (Petroliam Nasional Berhad) dan kerajaan Persekutuan sejak tahun 1974,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Malam Penghargaan Media Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad di sini malam kelmarin.
Ahmad Samsuri berharap baki royalti petroleum terbabit dapat dilunaskan oleh Kementerian Kewangan selewat-lewatnya awal tahun depan.
No comments:
Post a Comment