KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang pemuda untuk mengaut keuntungan mudah dengan menjadi pengedar dadah terkubur apabila dia diberkas polis di Kuala Ibai di sini pada Rabu lalu.
Suspek berusia 21 tahun yang baru-baru dua bulan berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah tersebut dipercayai sedang menunggu pelanggan sebelum ditahan di hadapan sebuah rumah berhampiran Sekolah Kebangsaan Pusat Kuala Ibai di sini pada pukul 9.30 malam.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sewaktu ditahan sepasukan polis, lelaki yang merupakan pengganggur berkenaan sedang duduk di atas motosikal Honda Cup ditungganginya.
"Oleh kerana terlalu gementar, suspek telah melemparkan satu bungkusan ke atas jalan tar yang kemudiannya didapati mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan pil berwarna merah dan hijau dipercayai dadah jenis pil kuda.
"Setelah disoal-siasat, dia kemudiannya membawa polis ke rumahnya di Taman Kalong Mas, Rusila, Marang yang membawa kepada penemuan lebih banyak lagi bekalan dadah jenis sama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment