Translate

Wednesday, January 2, 2019

Maskot ceriakan hari pertama persekolahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR  A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU – Hari pertama persekolahan bagi 230 murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I di sini semalam diceriakan dengan kehadiran maskot watak kartun kegemaran kanak-kanak iaitu Mickey dan Minnie Mouse.

Kehadiran dua karakter popular Walt Disney itu bukan sahaja mencuit hati malah berjaya mengurangkan rasa gementar murid tahun satu berkenaan pada hari pertama persekolahan.

Guru Besar SK Sultan Sulaiman I, Mohamad Kabidi Mohamad berkata, kehadiran maskot Mickey dan Minnie Mouse itu adalah inisiatif unit kaunseling dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

“Kedua-dua maskot watak kartun popular itu menunggu murid di pintu pagar sekolah sejak pukul 6.45 pagi untuk menyambut kehadiran 1,300 murid SK Sultan Sulaiman I yang memulakan sesi persekolahan baru hari ini (semalam).

“Ia merupakan penganjuran kali kedua dan lebih meriah. Tahun lalu, kami turut mengambil inisiatif membawa maskot Spiderman tetapi adiwira itu tidak dapat menyambut kedata­ngan murid di pagar sekolah ekoran cuaca hujan pada masa itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohamad Kabidi berkata, pengurusan sekolah bercadang untuk meneruskan inisiatif berkenaan pada hari pertama sesi persekolahan pada tahun akan datang berikutan maklum balas positif diterima daripada murid dan ibu bapa.

Dalam pada itu, di Kemaman, seramai 200 murid tahun satu dan prasekolah SK Sultan Ismail teruja de­ngan kehadiran adiwira, Iron Man dan Spiderman yang me­nyambut kehadiran mereka ke sekolah.

Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan,  Ismail Mohd. Fadhli Ibrahim berkata, maskot dua watak adiwira yang bertujuan untuk menceriakan hari pertama persekolahan itu ditaja oleh salah seorang bapa murid sekolah tersebut.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan seramai 1,443 murid SK Kubang Kerian (3) di sini teruja disambut Mickey Mouse, Minnie Mouse dan Robocar Poli di dewan sekolah itu ketika mereka sedang berhimpun.

Menurut guru besarnya, Muzli Mustapha, penampilan watak-watak kartun pada hari pertama persekolahan merupakan tradisi sejak lima tahun lepas.

 “Pada tahun ini, pihak sekolah membawa tiga watak kartun iaitu Minnie Mouse, Mickey Mouse dan Robocar Poli untuk menyambut kedatangan 1,443 murid prasekolah hingga tahun enam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

No comments:

Post a Comment