Translate

Saturday, January 19, 2019

THT benam TNB Thunderbolt 4-0

MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU - Pasukan Hoki Terengganu (THT) mencapai kemenangan sulung selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Thunderbolt 4-0 pada aksi kedua Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Hujan lebat membataskan pergerakan kedua-dua pasukan dengan tuan rumah hanya mendapat pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-12 namun disia-siakan pakar flick Korea Selatan, Jang Jonghyun.

THT yang juga juara bertahan MHL akhirnya berjaya memecah kebuntuan menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari yang berjaya menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-18.

Selang enam minit kemudian, Jonghyun berjaya kembali mempertajamkan skil pukulan sudut penalti dengan meledak gol kedua THT pada minit ke-24.

Kesempatan terbaik TNB Thunderbolt untuk merapatkan kedudukan menjelma pada lewat suku kedua aksi namun pukulan kencang Azril Misron berjaya ditahan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Hafizuddin Othaman.

Separuh kedua berlangsung hambar sebelum THT memperolehi gol ketiga menerusi kapten pasukan, Fitri Saari yang mudah menolak masuk penalti stroke pada minit ke-49.


Bekas pemain kebangsaan, Muhammad Rashif Baharom kemudiannya melengkapkan kemenangan THT apabila meledak jaringan keempat menerusi gol padang pada minit ke-59. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment