Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BIARPUN tanpa pembelian pemain-pemain bintang, pasukan naib juara Piala Malaysia, TFC I optimis dapat mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan yang mampu mencabar kejuaraan Liga Super pada saingan musim ini.
Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim (gambar) berkata, pasukannya meletakkan sasaran untuk berada di kelompok tiga pasukan teratas Liga Super selain merangkul salah satu kejuaraan sama ada trofi Piala Malaysia atau pun Piala FA.
“Musim lalu kita hampir-hampir menjadi naib juara Liga Super namun terpaksa berpuas hati di tangga kelima dalam persaingan yang ditentukan pada aksi terakhir.
“Kita juga muncul naib juara Piala Malaysia dan mara ke suku akhir Piala FA. Jadi, tahun ini, KPI (indeks penunjuk prestasi) yang diberikan kepada saya ialah menjulang sekurang-kurangnya satu piala atau layak ke saingan ACL (Liga Juara-Juara Asia),” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Irfan Bakti turut percaya pasukannya akan mencapai momentum yang diharapkan pada kempen kali ini setelah mereka semakin serasi bersama.
Jurulatih berpengalaman itu menjelaskan struktur utama dalam barisan pemain skuad Penyu tidak banyak berubah dan masih ditunjangi pemain-pemain sama sejak beliau kembali mengendali TFC I tiga musim lalu.
“Saya juga berpuas hati dengan prestasi pemain tengah import baharu, Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan yang semakin menunjukkan kemajuan.
“Dia telah menjaringkan tiga gol dan menghasilkan beberapa gerakan gol dalam siri perlawanan persahabatan pramusim termasuk di Vietnam sebelum ini,” katanya.
Irfan Bakti juga berharap sentuhan penyerang sensasi TFC I yang juga kapten pasukan, Kipre Tchetche akan lebih tajam pada musim ini.
Tambah beliau, barisan serangan skuad Penyu juga masih diperkuat dengan khidmat dua pemain berpengalaman iaitu Mohamad Ashari Samsudin dan Abdul Malik Mat Ariff.
No comments:
Post a Comment