Translate

Wednesday, January 30, 2019

Muhammad Syukur bakal dilantik Ikon Kapa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Muhammad Syukur Khamis, 14, yang terkenal sekelip mata selepas gambarnya bermesra dengan sekumpulan kerbau menjadi tular di media sosial sejak dua ming­gu lalu bakal dilantik sebagai ikon Kadet Sekolah Pertahanan Awam (Kapa).

Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, pelantikan Muhammad Syukur yang juga anggota Kapa di sekolahnya akan diumumkan secara rasmi pada perhimpunan agensi peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada Mac ini.

“Saya lihat Muhammad Syu­kur mempunyai potensi untuk dijadikan Ikon Kapa bagi menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah menengah lain di negara ini menyertai badan beruniform tersebut.

“Selain akan dipelawa me­nyertai program-program anjuran APM terutamanya di peringkat sekolah-sekolah, kita juga akan memberi pendedahan kepada dia untuk meningkatkan keyakinan diri,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Muhammad Syukur sebagai Lans Koperal Kapa di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini semalam.

Turut hadir Pengarah APM Terengganu, Che Adam A. Rahman; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Husin dan Pengetua SMK Padang Midin, Zah Mohamad.
Roslan berkata, Muhammad Syukur merupakan Ikon Kapa pertama yang dilantik dalam kalangan pelajar.

Dalam perkembangan sama, APM juga bersetuju untuk menaik­kan pangkat Muhammad Syu­kur daripada ahli biasa kepada Lans Koperal Kapa atas kapasiti sahsiahnya yang baik dan mengharumkan nama badan beruniform itu.

Sementara itu, Muhammad Syu­kur berkata, dia menyertai Kapa sejak tingkatan satu lagi kerana meminati kesungguhan dan kegigihan APM melakukan kerja-kerja penyelamatan.

No comments:

Post a Comment