Translate

Friday, January 11, 2019

THT mahu tamatkan badi rangkul Piala Sumbangsih

JUARA bertahan Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak rela kecewa buat kali kedua dalam saingan musim ini selepas terpaksa ‘berputih mata’ untuk merangkul gelaran Piala Tan Sri P. Alagendra pada final Ahad lalu.

Gergasi hoki dari Pantai Timur itu berazam untuk mengubati kekecewaan tersebut dengan memenangi Piala Sumbangsih menjelang pertemuan dengan juara Piala TNB musim lalu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium­ Hoki Ba­tu Burok, Kuala Terengganu esok.

Ketua jurulatih THT, I. Vikneswaran menyifatkan mereka sudah melupakan kekalahan tersebut dan kini fokus terarah untuk menjulang Piala Sumbangsih buat kali pertama setelah gagal dalam empat percubaan berturut-turut sebelum ini.

“Semua sedia maklum bahawa THT layak beraksi merebut Piala Sumbangsih sejak edisi 2015 tetapi kesemua­nya berakhir dengan kekalahan dalam aksi pembukaan MHL.

“Sekarang adalah waktu terbaik untuk kami menamatkan badi berpanjangan ini sekali gus bermula langkah kanan pada edisi kali ini,” katanya kepada Kosmo! pada majlis pelancaran jersi THT dan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) di Kuala Terengganu kelmarin.

THT dikecewakan oleh musuh tradisi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam empat perlawanan Piala Sumbangsih berturut-turut sejak 2015.

Bekas juara berganda tiga tahun berturut-turut bermula 2014 hingga 2016 itu kini menarik nafas lega kerana buat kali pertama mereka akan bertemu lawan baharu iaitu UniKL, bukannya KLHC yang memilih untuk menarik diri daripada saingan MHL 2019.

Vikneswaran berkata, UniKL adalah pasukan le­bih mantap dengan barisan import bertaraf dunia tetapi ia bukan penghalang buat mereka mencipta kejutan pada aksi Piala Sumbangsih esok.

“Lima import sudah menunjukkan keserasian dengan pemain-pemain tempatan walaupun kami berlatih dalam tempoh yang singkat. Saya sudah merangka strategi dan taktikal untuk memerangkap UniKL dalam perlawanan itu nanti,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment