Translate

Monday, January 21, 2019

Penyertaan pasukan pada MHL membimbangkan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JURULATIH Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj melahirkan kebimbangan susulan sambutan dingin terhadap Liga Hoki Malaysia (MHL) yang kini disertai enam pasukan sahaja.

Beliau berkata, penarikan diri pasukan berpengaruh, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pada edisi kali ini memberi kesan besar yang boleh membawa kemerosotan kepada MHL dan perkembangan hoki negara.

“MHL adalah satu-satunya kejohanan domestik kompetitif untuk pemain-pemain hoki tempatan yang tidak terpilih menyertai skuad kebangsaan.

“Bagi saya, MHL perlu dipanjangkan hingga lapan bulan seperti liga-liga hoki di Eropah, berbanding enam atau lapan minggu pada masa ini untuk perkembangan bakat-bakat baharu dan menarik penyertaan lebih banyak kelab,” katanya ketika ditemui Kosmo!  Ahad kelmarin.
Arul menegaskan, satu lagi kejohanan domestik iaitu Piala Razak baginya tidak kompetitif kerana pasukan-pasukan negeri biasanya dibentuk kurang seminggu sebelum kejohanan tersebut.

Beliau yang berjaya membawa UniKL muncul juara keseluruhan musim lalu berkata, selain 20 pemain kebangsaan yang mempunyai jadual padat di peringkat antarabangsa, pemain lain seakan-akan tiada ruang untuk mengasah bakat bagi mempertingkatkan mutu permainan masing-masing.

“Tambah membimbangkan, saya lihat ramai pemain skuad muda yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Remaja tahun lepas tidak beraksi pada MHL kali ini.

“Sampai bila kita perlu bergantung harap kepada 20 pemain kebangsaan yang ada sedangkan hanya tujuh hingga lapan mencapai standard dunia sedangkan yang lain biasa-biasa,” katanya.

Arul menambah, masalah sambutan dingin terhadap MHL perlu ditangani segera demi pembangunan bakat baharu jika tidak mahu melihat standard hoki negara statik di ranking lama, meskipun jurulatih dunia dibawa masuk dan berjuta ringgit dibelanjakan.

Jelasnya, Konfederasi Hoki Malaysia selaku badan induk perlu mengambil inisiatif berbincang dengan pengurusan kelab dalam masa terdekat bagi menjenamakan semula MHL.

No comments:

Post a Comment