Translate

Wednesday, January 30, 2019

Stor pejabat SK Seri Payong terbakar

BESUT – Seramai kira-kira 500 murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Payong, Jertih di sini cemas selepas stor pejabat yang terletak di aras atas bangunan sekolah itu tiba-tiba terbakar semalam.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, 70 peratus daripada stor yang me­nempatkan dokumen dan buku rekod mengajar tersebut musnah dalam kebakaran yang disyaki di­sebabkan litar pintas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih,  Mohd. Zamri Omar berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 9. 12 pagi.

“Kami menerima maklumat tentang kebakaran stor yang terletak bersebelahan bilik guru dan pejabat SK Seri Payong.

“Kebakaran yang berlaku di aras paling atas bangunan tiga tingkat itu berjaya dipadamkan sepenuh­nya pada pukul 10 pagi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat serta jumlah kerugian juga sedang ditaksir.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, stor pejabat yang terbakar itu menyimpan buku rekod mengajar, fail dan lain-lain dokumen sekolah berkenaan.

Menurut beliau, setakat ini, kerugian disebabkan kebakaran itu dianggarkan berjumlah RM12,000.

“Alhamdulillah tiada sesiapa yang mengalami kecederaan dan proses pembelajaran di sekolah itu berjalan seperti biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment