Translate

Monday, January 28, 2019

Jualan My Best Buy di pejabat cawangan FAMA seluruh negara setiap bulan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Jualan My Best Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menawarkan barangan keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran akan diadakan setiap bulan di perkarangan pejabat cawangan agensi itu di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Datuk Nazipah Jamaluddin berkata, Jualan My Best Buy yang bertujuan membantu warga bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup tersebut akan diadakan pada setiap hujung minggu keempat setiap bulan.

Beliau berkata, Jualan My Best Buy memberi penekanan kepada jualan produk industri kecil dan sederhana, barangan segara dan kawalan seperti ikan, minyak masak serta tepung gandum pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran.

"Jualan My Best Buy ini telah diperkenal sejak tahun 2014 dan dahulunya dilaksanakan di pasar tani dan pasar pagi terpilih di seluruh negara.

"Pada tahun ini kita mengubah pendekatan dengan menganjurkannya di perkarangan pejabat cawangan FAMA di seluruh negara agar lebih ekonomik dan mendekatkan pelanggan dengan agensi kami," katanya selepas merasmikan Jualan My Best Buy di perkarangan pejabat FAMA Terengganu di sini hari ini.

Nazipah berkata, sejak penganjurannya hampir lima tahun lalu, sambutan diterima daripada pengguna amat menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 2.7 juta orang dan nilai jualan hampir RM48.3 juta. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment