Translate

Monday, January 7, 2019

Air surut bukan petanda tsunami

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Feno­mena air Pantai Teluk Lipat berhampiran muara Sungai Dungun surut mendadak pada Selasa lalu berpunca daripada pertembu­ngan air pasang besar yang melanda perairan ne­geri itu awal minggu ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman  (gambar kecil) berkata, ia merupakan fenomena semula jadi biasa berlaku dan tiada kena-mengena dengan bencana alam, tsunami yang kebetulan melanda negara jiran baru-baru ini.

Beliau berkata, fenomena air laut surut itu bukan sahaja dikesan di Pantai Teluk Lipat tetapi juga di beberapa lokasi lain di Terengganu seperti Pantai Bukit Keluang, Besut.

“Fenomena tersebut telah diramal awal oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan serta  Jabatan Saliran dan Pengaliran.

“Pertembungan air pasang besar sebenarnya boleh menyebabkan paras air laut surut ke tahap maksimum seperti yang berlaku di muara Sungai Dungun dua, tiga hari lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Terengganu berkata, sehari sebelum kejadian, berlaku fenomena air pasang besar sehingga menyebabkan paras air laut me­ningkat mendadak ke tahap maksimum iaitu antara 2.7 dan 2.8 meter.

Menurut beliau, pertembungan air pasang besar pada 24 Disember lalu itu kemudiannya telah menyebabkan paras air laut surut mendadak sehingga ke tahap maksimum.

“Orang ramai terutama masyarakat setempat tidak perlu risau kerana fenomena ini tidak memberi ancaman keselamatan dan berlaku dalam tempoh pendek.

“Saya juga berharap penularan di media sosial kononnya ia petanda bencana alam dapat dihentikan segera kerana menyebabkan kegusaran ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment