Translate

Friday, January 25, 2019

TFC I fokus perkukuh bahagian sayap skuad Sang Penyu

PENGENDALI Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim mengakui skuadnya masih merasai kekosongan posisi sayap susulan dua perancang, Mohd. Faiz Nasir dan J. Pathiban telah me­nyertai pasukan lain musim ini.

Beliau berkata, bahagian sayap sebelum ini dikemudi Mohd. Faiz dan Pathiban namun masing-ma­sing telah berhijrah ke Sela­ngor dan Perak.
Justeru, Irfan memberi keutamaan untuk memantapkan ke­dua-dua posisi yang di­tinggalkan itu menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) 2019 awal Februari depan.

“Saya masih belum berpuas hati dengan pres­tasi anak-anak buah saya sepanjang tempoh pramusim setakat ini terutama bahagian sayap.

“Kebanyakan serangan yang dicipta dalam dua siri perlawanan persahabatan sebelum ini mudah ‘dimatikan’ lawan di bahagian tengah dan pemain penyerang TFC I kurang menerima umpanan menyengat,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Kuala Terengganu semalam.

Pada dua perlawanan persahabatan pramusim baru-baru ini, TFC I seri 0-0 dengan Kelantan tetapi tewas 1-2 dengan pasukan adik, TFC II.

Bagaimanapun, Irfan memberitahu, senario itu tidak begitu merisaukannya kerana percaya kekurangan tersebut mampu diperbaiki dalam tempoh pramusim berbaki lebih dua minggu lagi.

Jurulatih berpengalaman itu juga percaya pemain-pemain baharu yang mengisi posisi sayap seperti Ahmad Syamim Yahya, Khairul Azrin Khazali dan Khairul Anwar Shahrudin mampu mencapai persefahaman­ dengan rakan pasukan lain.

“Hanya tiga atau empat aksi persahabatan lagi, saya rasa semua anak buah saya termasuk pemain baharu akan semakin serasi bersama.

“Saya juga berpuas hati dengan kesungguhan ditunjukkan import baharu, Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan yang tiba 4 Januari lalu walaupun masih me­ngalami masalah bahasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment