Translate

Thursday, January 17, 2019

Tarif air dijangka naik tahun ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menjangkakan kenaikan tarif air dapat dilaksanakan pada tahun ini berikutan kebanyakan kerajaan ne­geri menyatakan persetujuan dengan cadangan itu.

Bagaimanapun, Menterinya, Dr. Xavier Ja­yakumar berkata, kadar kenaikan masih dalam perbincangan kerana setiap ne­geri mempunyai kadar tarif berbeza selain ada juga yang tidak pernah menyemak semula sejak berpuluh tahun lalu.

Tambah beliau, kerajaan tidak mampu lagi menampung kos penyelenggaraan air di negara ini menggunakan kadar bayaran yang dilakukan kira-kira 25 tahun lalu.

“Saya nampak banyak kerajaan negeri setuju, namun ada satu atau dua negeri sahaja yang masih belum setuju tapi kami akan berbincang dengan mereka. Perbincangan akan dilakukan bersama mereka berkaitan isu tarif air.
“Kami bukan hendak beban mana-mana pihak. Kita kena faham, kalau kita, nak air bersih, kita kena keluarkan belanja.

“Kira-kira 20 tahun lalu, tiada perbelanjaan yang dilakukan kerana ada percanggahan mengenai sistem air antara kerajaan Negeri, Persekutuan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) de­ngan Indah Water Konsortium (IWK) di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd Latif Mohmod dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Faizal Othman.

Mengulas mengenai cadangan agar kerajaan akan menetapkan kadar kenaikan tarif air seba­nyak 20 peratus yang mahu dilaksanakan di Pulau Pinang sebagai had kenaikan bagi negeri lain, Xavier berkata, ia bergantung pada perbincangan kerajaan negeri dan SPAN.
Dalam pada itu, Xavier juga memberi jaminan bahawa purata kenaikan tarif air tidak akan membebankan rakyat.

“Kami nak beri air bersih untuk semua kawasan dan penduduk di Malaysia. Jadi, mesti ada perbelanjaan. Ini satu-sa­tunya industri yang rakyat perlu main peranan bagi memastikan ia maju dan boleh menyediakan air bersih yang diminta pengguna,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri Terengganu memberi gambaran bahawa tarif air negeri tersebut bakal dinaikkan selaras dengan usaha menstruktur se­mula industri perkhidmatan bekalan air oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan itu turut mengambil kira tarif air di ne­geri tersebut yang tidak pernah dinaikkan sejak 22 tahun lalu.


No comments:

Post a Comment