Translate

Thursday, April 15, 2021

Pengunjung bazar Ramadan pengotor dikompaun serta-merta


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengunjung bazar Ramadan di bandar raya ini yang mula beroperasi mulai hari ini akan dikenakan kompaun RM50 serta-merta sekiranya membuang sampah merata-rata.

Setiausaha Majlis Bandaran Kuala Terengganu (MBKT), Lukema Meri Salleh berkata, anggota penguat kuasa yang berpakaian biasa akan melakukan rondaan di bazar-bazar Ramadan terpilih di bandar raya ini bagi melakukan penguatkuasaan tersebut.

“Tumpuan akan diberikan terhadap tiga bazar Ramadan yang terletak berhampiran Dataran Shahbandar dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini.

“Kawasan tersebut sering menjadi tumpuan ramai. Kita mahu tapak bazar-bazar Ramadan sentiasa bersih tanpa dikotori oleh sisa makanan sama ada oleh peniaga mahu pun pengunjung,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, pendekatan kompaun tersebut bertujuan mendidik masyarakat bagi memastikan bandar raya tersebut sentiasa bersih.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, MBKT telah meluluskan 25 tapak bazar Ramadan di seluruh bandar raya ini sepanjang bulan puasa ini.

“Bilangan gerai di semua bazar Ramadan berkenaan telah dihadkan kepada 900 sahaja berbanding 1,300 pada tahun 2019,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment