Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Pantai Pandak, Chendering di sini yang sebelum ini sunyi ekoran musim tengkujuh dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tiba-tiba di serbu orang ramai berikutan penemuan kerang dan siput dalam kuantiti yang banyak.
Dianggarkan ratusan kilogram (kg) kerang dan siput terdampar di pantai berkenaan berikutan fenomena air pasang sejak seminggu lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, orang ramai mengambil kesempatan mengutip kerang dan siput sehingga ada segelintir ada penduduk sanggup meredah ombak besar di tengah laut.
Seorang penduduk, Mohd. Zamri Alias, 40, berkata, Pantai Pandak dipenuhi penduduk yang datang untuk mengutip kerang dan siput seawal pukul 7 pagi setiap hari sejak awal minggu ini.
“Memang setiap kali permulaan monsun Timur Laut saban tahun, banyak kerang akan naik ke pantai dibawa air pasang pada awal pagi.
“Tahun ini, kuantitinya lebih banyak sampaikan penduduk boleh membawa balik hasil kutipan 10kg setiap seorang.
“Kalau kita korek pasir dalam air (pantai) lagi banyak kerang, nasib baik boleh juga dapat siput-siput pelbagai jenis,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Wan Mohd. Azamani Wan Hamzah berkata, orang ramai dinasihati agar tidak terlalu ghairah mengutip kerang dan siput sehingga melupakan keselamatan diri masing-masing.
“Orang ramai harus berhati-hati, jangan terlalu jauh ke dalam laut kerana ombak besar dan arus kuat pada waktu ini.
“Pantai Pandak ini juga pernah merekodkan banyak kes kematian akibat lemas. Sebaiknya hindari sebarang aktiviti air di pantai pada musim tengkujuh ini,” katanya.
Wan Mohd. Azamani juga meminta orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu sewaktu PKPB masih dikuatkuasa pada masa ini.
No comments:
Post a Comment