Translate

Friday, April 16, 2021

Kluster Belaoh berpunca daripada budaya lepak kedai kopi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kluster baharu iaitu Kluster Belaoh dicatatkan di Terengganu yang berpunca daripada tabiat penduduk kampung berkumpul minum di kedai kopi.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, setakat ini, 25 orang telah disahkan positif Covid-19 termasuk lapan kes terbaharu semalam daripada kluster berkenaan yang berasal dari Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak, Hulu Besut.

“Selalunya kewujudan kluster baru dikaitkan dengan majlis keramaian seperti kenduri kahwin, tahlil dan hari jadi tetapi di Kampung Belaoh, ia disebabkan aktiviti sosial penduduk mengeteh (minum) di kedai kopi selepas solat.

“Kebiasaannya semasa di masjid dan surau patuh SOP (prosedur operasi standard) tetapi tidak di kedai kopi. Lepas (solat) Asar ke kedai lain, lepas (solat) Isyak kedai lain pula,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak berkuatkuasa 6 April lalu.

Nor Azimi berkata, perkumpulan di kedai kopi tersebut menjadi punca kepada penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk kampung tersebut sebelum tersebar kepada ahli keluarga mereka pula.

Sehubungan itu, jelas beliau, ujian saringan bersasar akan dilaksanakan kepada 2,322 penduduk tiga perkampungan berkenaan. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment