Translate

Friday, April 2, 2021

Koridor Lateks bantu penoreh getah

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA NERUS – Penoreh getah di Terengganu, Kelantan dan Pahang bakal menerima limpahan manfaat daripada Koridor Lateks Pantai Timur yang dicadangkan pada pembentangan Belanjawan 2021 kelmarin. 

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali berkata, projek yang bertujuan meningkatkan pengeluaran susu getah cair atau lateks tempatan itu menerima peruntukan RM16 juta dalam pembentangan Belanjawan 2021 kelmarin.

 Beliau berkata, penoreh getah di negeri-negeri di Pantai Timur bakal memberi tumpuan kepada penghasilan susu getah cair berbanding getah sekerap sebelum ini menerusi projek koridor lateks berkenaan. 

“Penjualan susu getah cair dapat memberi pendapatan lebih tinggi melebihi dua kali ganda berbanding getah sekerap. 

“Ia (susu getah cair) perlu dikutip penoreh terlibat setiap hari sebelum dikumpulkan oleh koperasi setiap kawasan. Proses jual beli dan penghantaran produk ini akan diuruskan anak syarikat Lembaga Getah Malaysia,” katanya. 

Terdahulu beliau ditemui selepas menghulurkan bantuan segera berupa wang tunai dan barangan keperluan kepada mangsa kebakaran di Kampung Sungai Ikan, Tepoh di sini semalam.

 Khairuddin berkata, susu getah cair amat diperlukan dalam industri pembuatan sarung getah perubatan yang kini mendapat permintaan tinggi ekoran penularan pandemik Covid-19 pada masa ini. 

Beliau berkata, pengeluaran lateks tempatan perlu dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan industri pembuatan sarung getah perubatan yang kini hanya mampu menguasai lima peratus pasaran ekoran kekangan sumber bahan mentah. 

Dalam perkembangan sama, Khairuddin berkata, tumpuan kepada pengeluaran susu getah cair adalah satu satu strategi Transformasi Pengeluaran Getah yang bertujuan meningkatkan pendapatan penoreh tempatan.

 “Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada Insentif Pengeluaran Getah sebaliknya Transformasi Pengeluaran Getah adalah inisiatif kerajaan bagi me tingkatkan pendapatan penoreh jangka masa panjang,” katanya

No comments:

Post a Comment