Translate

Thursday, April 15, 2021

Harga turun, pelanggan pula kurang

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan MOHD. AZLI ADLAN 

KOTA BHARU – Pada Julai lalu, harga emas meningkat secara mendadak sehingga RM270 segram, namun peminat emas di seluruh negara ketika itu tetap ‘menyerbu’ premis barang kemas.

 Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku apabila harga emas kini menurun bawah RM240 segram, tetapi premis-premis barang kemas terutama di Pantai Timur ‘sepi’. 

Beberapa peniaga barang kemas di Pasar Besar Siti Khadijah di sini yang ditemui Kosmo! Ahad semalam mengeluh kerana mereka kekurangan pelanggan walaupun harga emas semakin menurun sejak seminggu lalu. 

Pemilik Lie dan Sue Gold & Diamonds, Sunira Sharif, 33, berkata, harga emas semasa semalam bernilai RM237 segram berbanding RM238.97 segram kelmarin.

 Katanya, harga emas mula jatuh sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah pada 14 Oktober lalu. 

“Kami mengalami sedikit kerugian berbanding sebelum ini kerana bekalan emas dibeli pada harga tinggi sejak sebulan lalu, tetapi sekarang terpaksa menjualnya mengikut harga semasa. 

“Jika ada untung hanya sedikit, kalau tidak sekadar pulang modal perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Four Gold Enterprise, Mat Bahadeli Abdullah, 49, berkata, sejak Khamis lalu, dia hanya menjual emas kepada dua pelanggan, namun lebih menyedihkan apabila tiada peminat emas yang datang ke premis semalam. 

Situasi itu menyebabkan dia membuat keputusan untuk menutup kedainya seawal pukul 2 petang bermula semalam.

 “Sekarang orang tidak lagi ramai mahu melabur wang untuk membeli emas. Mungkin mereka mahu guna duit untuk membeli bekalan makanan dan keperluan lain yang penting selepas negara kembali diserang Covid-19.

“Malah, ketika ini mungkin ramai yang sudah tiada wang lebihan berbanding semasa mereka tidak perlu membayar hutang pinjaman bank sepanjang pelaksanaan moratorium,” katanya.

 Mac lalu, kerajaan melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan sehingga September lalu dan kini hanya golongan sasar yang boleh menyambung moratorium. 

 Kata Mat Bahadeli, kekurangan pelanggan ketika ini adalah situasi terburuk yang pernah dihadapinya sejak memulakan perniagaan lebih 20 tahun lalu. 

Ujarnya, jika keadaan berterusan sehingga tiga bulan lagi, tidak mustahil kedai emasnya akan gulung tikar. 

Kekurangan pelanggan di Kelantan juga disebabkan peminat emas terutama dari Lembah Klang tidak dapat membeli barang kemas di negeri itu ekoran pelaksanaan PKPB. 

 Kelantan juga kini melaksanakan PKPB sehingga 6 Disember ini berikutan penularan pandemik Covid-19.

Di Kuala Terengganu, deretan kedai emas di Pasar Payang 2 yang sebelum ini tidak menang tangan melayan pelanggan kini agak sepi. 

Seorang pengusaha kedai emas, Zakaria Yusof berkata, jualan barang kemas semakin merundum terutama sejak pelaksanaan PKPB di Terengganu yang hanya berakhir kelmarin.

 Ujarnya, jualan emas di Terengganu sebenarnya sudah mula menunjukkan trend penurunan sejak PKPB dilaksanakan semula di Lembah Klang. 

“Sebelum ini kami menerima ramai pelanggan dari Kuala Lumpur dan Selangor yang ambil kesempatan beli barang kemas sewaktu melancong kerana harga emas di sini lebih rendah berbanding tempat lain. 

“Penduduk Terengganu pula mengambil pendekatan berhati-hati kerana mungkin mereka kurang lebihan wang sekarang selepas perlu kembali membayar pinjaman bank,” ujarnya. 

Kosmo! pada 20 Julai lalu melaporkan, peminat emas di seluruh negara bagaikan melepaskan geram dengan ‘menyerbu’ premis barang kemas setelah hampir dua bulan tidak dapat membeli perhiasan itu ekoran pelaksanaan PKP akibat pandemik Covid-19. Dalam tempoh dua bulan sahaja bermula Mei lalu, hasil jualan emas melibatkan lebih 1,500 peniaga di seluruh negara dianggarkan mencecah RM1 bilion.

No comments:

Post a Comment