Translate

Thursday, April 22, 2021

Banjir Terengganu makin buruk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Hujan lebat yang masih berlarutan di daerah ini sejak kelmarin telah menyebabkan banjir di Terengganu semakin buruk dengan mangsa telah meningkat kepada 1,483 orang.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, Kemaman paling teruk terjejas dengan meliputi 88.3 peratus atau 1,310 orang daripada keseluruhan mangsa banjir di negeri tersebut.

"Kesemua 1,310 mangsa banjir di Kemaman tersebut kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kebanyakan lokasi yang terjejas banjir di daerah itu terletak di pendalaman seperti Kampung Teladas, Kampung Air Putih, Felda Seberang Tayor dan Kampung Pasir Gajah dekat sini," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Che Adam berkata, seramai 159 mangsa daripada 41 keluarga pula masih ditempatkan di tiga PPS di Dungun.

Tambah beliau, situasi banjir di Marang pula semakin memulih dengan hanya 14 mangsa daripada lima keluarga berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang.

"Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yany dilanda banjir sejak Isnin lalu pula telah pulih sepenuhnya dengan semua penduduk terjejas telah pulang ke rumah masing-masing mulai hari ini (semalam)," katanya.

Che Adam berkata, Sekteriat Pengurusan Bencana negeri sentiasa berwaspada dengan kemungkinan peningkatan mangsa banjir berikutan hujan lebat di daerah Kemaman diramal akan berlanjutan sehingga hari ini.

Ujarnya, Jabatan Meteorologi Malaysia juga telah mengeluarkan amaran cuaca tahap kuning di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu mulai hari ini.


habis

No comments:

Post a Comment