KUALA NERUS – Musim banjir membawa rezeki buat seorang penoreh getah dengan menjual ikan sungai yang dipukat di Ladang Pakoh Jaya dekat sini.
Wan Mansor Wan Abdul Wahab, 56, berkata, dia menahan pukat di kawasan dinaiki banjir di kawasan berhampiran rumahnya.
“Saya memukat ikan yang terlepas masuk ke perkampungan saya dari sungai berhampiran bagi mencari pendapatan kerana tidak boleh lagi keluar menoreh getah pada musim banjir ini.
“Alhamdulillah banyak juga ikan yang masuk pukat. Paling lumayan apabila saya mendapat ikan tapah yang dijual dengan harga RM200 seekor,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Ladang Pakoh Jaya dekat sini semalam.
Wan Mansor berkata, setakat ini, dia dapat menangkap enam ekor ikan tapah termasuk seekor semalam sejak banjir melanda negeri ini pada Isnin lalu. Walaupun ikan tapah yang ditangkap bersaiz kecil antara lima dan enam kilogram (kg) seekor, ia tetap menjadi rebutan.
“Kebanyakan ikan tapah yang saya tangkap ditempah awal oleh wakil pengusaha restoran masakan Cina di Kuala Terengganu.
“Selain ikan tapah, beberapa spesies ikan sungai lain turut memasuki pukat saya seperti patin, baung, keli, puyu dan terbol,” katanya.
Setiap ikan itu yang dijual RM6 hingga RM30 sekilogram mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Ujarnya, pelanggan sudah sedia menunggu dia membuka gerai jualan di tepi jalan berhampiran rumahnya pada pukul 10 pagi setiap hari sejak Isnin lalu. “Alhamdulilillah, ini rezeki saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment