KUALA NERUS – Musim tengkujuh bukan halangan buat seorang nelayan mencari rezeki menangkap ikan. Musa Mamat, 60, yang tidak dapat turun ke laut ekoran ombak besar dan bergelora mengambil inisiatif menahan jala di kawasan ditenggelami air banjir di kawasan rumah di Tok Jembal di sini.
Katanya, dia mengambil kesempatan menahan jala untuk menangkap ikan sungai di sebatang jalan yang ditenggelami banjir berhampiran rumahnya.
“Itu rutin saya setiap musim tengkujuh sejak 20 tahun lalu. Jalan itu sebenarnya berhampiran kawasan paya.
“Banyak ikan akan terlepas berenang ke jalan berkenaan pada musim banjir yang membawa rezeki kepada saya. Tak dapat tangkap ikan di laut, di darat pun jadi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Musa berkata, beliau akan menahan jala semalaman sebelum mendapatkan hasilnya dan antara ikan yang biasa ditangkap ialah haruan, keli dan puyu.
Tambah beliau, ikan bersaiz besar akan dijual sebagai sumber pendapatannya pada musim tengkujuh.
“Ikan bersaiz kecil untuk dimakan sendiri seisi keluarga selain dihadiahkan kepada jiran-jiran dan kenalan,” jelasnya
No comments:
Post a Comment