KUALA TERENGGANU – Kemerosotan jualan emas sejak akhir-akhir ini menyebabkan pengusaha menukar strategi pemasaran dengan mempromosi barangan kemas mereka secara agresif menerusi online.
Rata-rata pengusaha kedai emas di Pasar Payang 2 di sini mengoptimumkan media sosial seperti Facebook dan Instagram bagi menarik pelanggan.
Pengusaha Kedai Emas E.S Gold, Nursheila Majid berkata, dia membuka akaun Instagram ‘Emas Murah Pasar Payang’ untuk mempromosi koleksi terbaharu barangan kemas sejak Mei lalu.
“Kita tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada teknik jualan secara konvensional.
“Pemasaran menerusi online terpaksa dilakukan sejak pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang kerana mengalmi penurunan pelanggan begitu ketara,” katanya di sini semalam.
Di Ipoh, Perak, Pemilik Kedai Emas Safura, Bibi Safura Ghulam Hyder berkata, dia mengadakan jualan secara langsung menerusi laman Facebook dan Instagram dua kali sehari dan menyaksikan antara 50 hingga 60 transaksi jualan secara online sehari.
“Pada masa ini, kira-kira 80 peratus jualan barangan kemas dibuat secara online berbanding konvensional,” ujarnya.
Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, pemilik MZ Gold Kb, Murtadhatumizi Mustapha berkata, promosi jualan emas secara online banyak membantu perniagaannya.
Menurutnya, jualan emas syarikatnya mampu mencecah RM80,000 menerusi Facebook MZ Gold KB kelmarin.
“Jika dibandingkan dengan jualan secara fizikal di kedai, jualan emas kelmarin tidak sampai RM10,000. Nilai jualan itu jatuh teruk berbanding tiga bulan lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment