KUALA NERUS – Seorang wanita yang baru menjalani pembedahan katarak bersama suaminya yang menghidap strok terpaksa meredah banjir selepas rumah mereka di Taman Murni Permai, Tok Jembal di sini dinaiki air.
Zaitun Sulong, 55, berkata, dia yang perlu memakai cermin mata gelap akibat silau terpaksa meminta bantuan jiran untuk memapah suaminya, Abdul Ghani Awang, 59, yang diserang strok pada April lalu.
“Air naik dengan cepat dalam tempoh kurang dua jam selepas hujan lebat pada pukul 6 petang (kelmarin),” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tol Jembal di sini semalam.
Zaitun berkata, pergerakan suaminya masih lemah dan perlu dipantau bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Ekoran masalah kesihatan yang dialami, pasangan itu ditempatkan di tingkat bawah oleh jawatan kuasa pengurusan bencana PPS SK Tok Jembal.
“Hampir setiap tahun rumah saya dilanda banjir, sepanjang 30 tahun ini, sudah 28 kali saya terpaksa berpindah ke PPS.
“Cuma pada tahun ini lebih mencabar sebab saya dan suami tidak sihat,” katanya.
Walaupun air semakin surut, dia tidak berani pulang ke rumahnya dan memutuskan untuk terus tinggal di PPS sehingga bencana itu pulih sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment