Oleh MOHD AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Helah sebuah bot nelayan Vietnam cuba melepaskan diri dengan melepaskan tali tambatan dan menukar haluan gagal apabila tetap berjaya dipintas pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu kelmarin.
Bot nelayan yang mempunyai 20 kru nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 21 hingga 52 itu berjaya dipintas Kapal Maritim (KM) Pekan pada kedudukan 120 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dekat sini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, nelayan Vietnam itu juga enggan memberi kerjasama dan menghalang tugas anggota penguat kuasa APMM untuk melakukan penggeledahan di dalam bot tersebut.
“Pemeriksaan awal mengesyaki bot nelayan asing itu menggunakan nombor patil palsu dan tidak mempunyai permit daripada Jabatan Perikanan untuk menangkap ikan di perairan negara.
“Kesemua nelayan itu juga tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, APMM telah menyita bot, hasil laut, bekalan minyak diesel dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.
Beliau berkata, kesemua barang sitaan bersama 20 nelayan Vietnam tersebut telah ditunda ke Jeti Maritim Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment