Translate

Thursday, April 15, 2021

Terengganu larang buka puasa di taman awam, tepi pantai

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu melarang sebarang aktiviti berbuka puasa di kawasan terbuka di seluruh negeri ini berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Bahagian (Kerajaan Tempatan) Terengganu, Yusaini Amir Mohamad Nor berkata, larangan itu meliputi semua taman awam, kawasan lapang dan tepi pantai di negeri berkenaan.

Beliau berkata, ia telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan 2 Negeri Khas (Pengurusan Darurat dan Pandemik) Terengganu yang telah bersidang semalam.

“Mesyuarat itu yang dipengerusikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar tersebut telah bersetuju untuk tidak membenarkan aktiviti berbuka puasa di kawasan lapang, taman awam dan tepi pantai di seluruh Negeri Terengganu.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta membuat hebahan, pemantauan dan penguatkuasaan berhubung peraturan ini di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, selain kawasan tepi pantai di sekitar lapan daerah di Terengganu, Dataran Shah Bandar yang berlatar belakang Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini merupakan antara lokasi kegemaran masyarakat untuk berbuka puasa sebelum penularan pandemik Covid-19.

Kosmo! semalam melaporkan aktiviti berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, Kuantan, Pahang yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan tidak lagi dibenarkan pada tahun ini. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment