Translate

Monday, April 12, 2021

Air pasang, banjir landa Terengganu

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

SETIU – Empat daerah di Terengganu mula dilanda banjir semalam berikutan hujan lebat seharian kelmarin. Begitupun, cuma dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Setiu manakala banjir di Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Dungun masih terkawal. 

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten Mohd. Nizu Husien berkata, setakat ini dua PPS telah dibuka di daerah itu iaitu Surau Kampung Bukit Nyior dan Balai Raya Kampung Sungai Lerek, Pelong di sini.

 “Seramai 47 penduduk Felda Chalok Barat dan Kampung Bukit Nyior, Pelong di sini daripada 11 keluarga telah dipindahkan.

 “Dua PPS iaitu Surau Kampung Bukit Nyior dan Balai Raya Kampung Sungai Lerek tersebut mula dibuka sejak pukul 11 malam kelmarin,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Sementara itu, lebih 30 rumah di Kampung Losong Haji Mohd., Kuala Terengganu turut dinaiki air akibat fenomena air pasang. Kesemua rumah terlibat dinaiki air dari limpahan Sungai Terengganu berhampiran sedalam hingga 1.5 meter. 

Seorang penduduk, Mohd. Hazizi Muhamad, 32, berkata, dia sekeluarga sedang menonton televisyen sebelum menyedari limpahan air sungai telah memenuhi persekitaran Kampung Losong Haji Mohd. termasuk rumahnya yang terletak kira-kira dua meter dari Sungai Terengganu. 

“Kami segera memindahkan perabot dan barangan berharga ke tempat yang lebih tinggi. “Sebenarnya limpahan sungai berikutan fenomena air pasang pada musim tengkujuh ini berlaku setiap tahun tetapi kali ini parasnya lebih tinggi hampir menyamai yang pernah berlaku sewaktu banjir besar pada tahun 2014,” katanya.

 Beberapa kampung di Hulu Terengganu seperti Kampung Matang, Kepah, Tengkawang dan Kuala Ping juga dinaiki air namun tiada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara setakat ini.

 Selain itu, sebahagian Jalan Kuala Terengganu - Kuantan berhampiran Kampung Tebing Tembah, Paka dekat Dungun turut ditenggelami air sejak tengah hari kelmarin. 

Tinjauan mendapati, keadaan tersebut turut menyebabkan pergerakan trafik menjadi perlahan ekoran penutupan satu lorong yang ditenggelami air banjir berkenaan. 


No comments:

Post a Comment