KUALA TERENGGANU – Dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram berjaya ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu hari ini.
Kedua-dua bot tersebut yang mempunyai 13 kru warga Vietnam itu berjaya dipintas sebuah kapal penguat kuasa APMM pada kedudukan 35 dan 36 batu nautika dari timur laut Kuala Terengganu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot nelayan asing itu yang mencurigakan tersebut telah ditemui Kapal Maritim (KM) Nusa yang sedang mengadakan rondaan pemantauan di perairan berkenaan.
“Dua bot itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa kononnya milik tempatan dengan menggunakan nombor patil (pendaftaran) disyaki palsu.
“Begitupun helah mereka tidak berjaya kerana berjaya dikesan pasukan penguat kuasa APMM kerana buatan kedua-dua bot tersebut memilik ciri-ciri buatan Vietnam,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Sufi berkata, bot nelayan pertama memiliki empat kru manakala sembilan nelayan asing pula berada di dalam bot kedua.
Tambah beliau, pemeriksaan mendapati kesemua 13 nelayan Vietnam itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
“Pemeriksaan pada buku lesen kedua-dua bot itu juga tidak tercatat nama kesemua nelayan asing itu.
“Kedua-dua bot tersebut telah disita sebelum ditunda ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu di sini bersama kesemua 13 krunya untuk tidakan lanjut,” katanya.
Muhammad Sufi berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment