Translate

Monday, April 5, 2021

Dipenjara seminggu, denda RM11,500 rasuah polis

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Padah memberi sogokan kepada anggota polis, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM11,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman demikian terhadap tertuduh, Mohd. Iskandar Mohd. Zain, 41, dari Santong, Paka, Dungun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau juga memerintahkan hukuman penjara tambahan sebanyak enam bulan terhadap Mohd. Iskandar jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Iskandar didakwa memberi suapan berupa wang tunai berjumlah RM2,300 kepada seorang anggota polis yang bertugas di bilik Timbalan Ketua Polis Balai Paka pada 21 Februari lalu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan atas dakwaan kesalahan dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment