Translate

Saturday, April 3, 2021

APMM tenggelam tiga bot nelayan Vietnam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Tiga lagi bot nelayan Vietnam yang selesai dilucuthak oleh mahkamah telah ditenggelamkan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Terengganu hari ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua bot tersebut ditenggelamkan pada kedudukan 3.6 batu nautika dari perairan Gong Balai, Merchang di sini.

Beliau berkata, pendekatan tersebut membuktikan ketegasan APMM menangani isu kerakusan nelayan asing menceroboh perairan negara.

“Ketiga-tiga bot nelayan Vietnam itu ditenggelamkan untuk dijadikan tukun tiruan sebagai inisiatif menggalakkan biodiversiti marin di perairan Terengganu.

“Setakat ini, APMM sudah menenggelamkan tujuh nelayan asing yang telah dilucuthak sejak awal tahun ini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya menjangkakan 40 lagi bot nelayan Vietnam yang disita atas kesalahan menangkap ikan di perairan Terengganu akan dilupuskan sepanjang tahun ini secara berperingkat setelah proses lucuthak diselesaikan mahkamah.

Tambah beliau, setakat ini, 102 bot nelayan asing telah ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di perairan Terengganu. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment