Translate

Sunday, April 11, 2021

Rugi RM50,000, petrol bercampur air

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

BESUT – Seorang pengusaha stesen minyak di Kampung Anak Ikan, Jertih di sini kerugian hampir RM50,000 semalam selepas tangki mengandungi muatan petrol RON95 di premisnya bercampur dengan air dipercayai berpunca hujan lebat kelmarin. 

Pencemaran petrol RON95 itu disedari selepas hampir 20 kenderaan tersadai selepas mengisi petrol di stesen minyaknya pada pukul 7 pagi. 

Pengusaha stesen minyak, Mohamad Rozaki Awang Teh berkata, dia mengesyaki sesuatu tidak kena selepas banyak kereta bersadai di tepi jalan kira-kira 20 hingga 50 meter dari premisnya.

 “Semua enjin kereta itu gagal berfungsi dengan baik selepas mengisi petrol di stesen minyak saya.

 “Pemeriksaan mendapati tangki penyimpanan petrol RON95 di premis ini telah dimasuki air.  Memang hujan lebat seharian di kawasan ini sejak semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. 

Mohamad Rozaki berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dua tangki lain yang menyimpan petrol RON97 dan diesel tidak pula terjejas. 

Tambahnya, beliau mengambil tindakan pantas menutup operasi stesen minyak serta-merta selain membantu dan membayar ganti rugi semua kenderaan pelanggan yang terjejas dengan insiden tersebut.

 “Saya membayar kos menunda kereta dan membaiki kerosakan yang menelan belanja purata RM800 setiap satu. Selain itu, pelanggan terlibat juga dipulangkan wang pembayaran petrol masing-masing.

 “Kami mengambil tanggungjawab dan insiden ini merupakan bencana alam, bukan disengajakan. Ini pertama kali berlaku sejak empat tahun stesen minyak ini beroperasi,” katanya. 

Mohamad Rozaki berkata, pengurusan syarikat pemilik jenama Petron terlibat dan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah melakukan siasat berhubung pencemaran tangki penyimpanan petrol terbabit. 

Beliau berkata, stesen minyak itu dijangka beroperasi semula hari ini selepas kerja-kerja mengeluarkan air pada tangki penyimpanan itu siap sepenuhnya. 

“Saya tunggu laporan penuh siasatan. Sekiranya insiden ini terbukti berpunca daripada unsur khianat bukan bencana alam, saya akan membuat  laporan polis segera bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment