Translate

Thursday, April 29, 2021

30 peniaga dikompaun langgar SHMMP Aidilfitri

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 30 peniaga di Terengganu telah dikompaun setelah didapati melakukan pelanggaran sepanjang seminggu pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah kegagalan meletakkan tanda harga (13 kes) dan menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan (10 kes).

“Selain itu, kompaun juga dikeluarkan atas kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu (enam kes) dan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum (satu kes).

“Sebelum dikompaun dikeluarkan, anggota penguat kuasa KPDNHEP terlebih dahulu memberi teguran kepada peniaga terlibat malangnya sebahagiannya tidak diendahkan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Saharuddin memberitahu, setakat ini, pasukan penguat kuasa KPDNHEP negeri telah melakukan pemeriksaan terhadap 453 premis perniagaan di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, pemeriksaan pematuhan SHMMP Aidilfitri akan dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama agensi lain seperti polis, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

“KPDNHEP tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan demi menjaga hak pengguna,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment