Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Bazar Ramadan Tok Adis yang diarah tutup pada kelmarin kerana kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dibenarkan kembali beroperasi mulai esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr. Alias Razak berkata, kebenaran untuk beroperasi setelah dua hari ditutup itu dibuat selepas pihaknya berpuas hati dengan jaminan diberikan pihak penganjur bazar Ramadan berkenaan.
“Sepatutnya Bazar Ramadan Tok Adis perlu ditutup selama 14 hari sehingga 30 April depan.
“Begitupun kita berpegang kepada jaminan pihak penganjur yang berjanji akan memastikan SOP ditetapkan dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung bazar terlibat,” katanya di sini hari ini.
Alias berkata, Jabatan Kesihatan negeri masih memantau rapi perjalanan bazar Ramadan itu dan tindakan lebih tegas akan diambil jika berlaku lagi pelanggaran SOP pada masa depan.
Kosmo! hari ini melaporkan seramai 200 peniaga Bazar Ramadan Tok Adis menggigit jari selepas menjadi bazar Ramadan pertama di negeri dan negara ini yang diarahkan tutup selama 14 hari kerana kegagalan mematuhi SOP. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment