KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin memberi bantuan pelan data internet percuma kepada 7,900 pelajar dalam kalangan golongan kurang berkemampuan (B40).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniSZA, Prof. Dr. Hazan Juahir berkata, pemberian pelan pascabayar itu bertujuan untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran yang kini sepenuhnya dijalankan secara online.
“Ia adalah inisiatif UniSZA untuk meringankan beban pelajar membiayai kos dan mendapatkan perayauan Internet yang baik. “Bagi fasa pertama hari ini (semalam), seramai 3,900 pelajar berkelayakan menerima kad sim data internet,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan penyerahan tersebut di kampus UniSZA, Gong Badak di sini semalam.
Hazan menjelaskan, pelajar terbabit akan menerima kad sim Celcom E-Learning 30 secara percuma selama empat bulan.
Tambah beliau, pelan itu menawarkan kelajuan internet 3G dan 4G/LTE 10 GB kuota data bulanan dan panggilan suara tanpa had.
Manfaat lain daripada pakej tersebut ialah akses tanpa had ke laman web dan enam aplikasi Microsoft Teams, Zoom Meeting, Skype, Google Meet, Cisco Webex dan Youtube.
“Seramai 4,000 pelajar UniSZA lagi akan menerima bantuan data Internet percuma tersebut pada awal tahun depan bagi fasa kedua.
“Mereka akan menerima wang tunai RM120 bagi membeli data internet berkenaan. Kos keseluruhan yang ditanggung UniSZA bagi bantuan ini adalah sebanyak RM898,000,” katanya
No comments:
Post a Comment