Translate

Sunday, April 18, 2021

Hujan lebat diramal beri kesan minimum

KUALA NERUS – Hujan lebat sehingga esok yang diramal melanda lima daerah di Terengganu termasuk Kuala Nerus dijangka tidak akan menyebabkan banjir besar. 

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, pemantauan mendapati sungai-sungai di sepanjang daerah itu termasuk Sungai Nerus dan Sungai Terengganu mampu menampung kehadiran air pada kuantiti tinggi ekoran hujan lebat.

 “Kami telah memeriksa Sungai Terengganu dan anak-anak sungainya dan berdasarkan paras semasa, lembangan sungai ini mampu mengalirkan air hujan terus ke laut. 

“Begitupun, kawasan-kawasan rendah di daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu masih berisiko banjir kilat disebabkan hujan lebat dalam tempoh dua hari,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Beliau berkata demikian selepas memantau Sungai Nerus sejauh kira-kira 15 kilometer.

 Sehubungan itu, Che Adam menasihatkan penduduk yang menetap di kawasan berisiko di lima daerah berkenaan agar lebih berwaspada sepanjang tempoh taburan hujan tinggi.

 “Dalam pada itu, pemantauan mendapati terdapat beberapa bahagian di sepanjang tebing Sungai Nerus mengalami hakisan disebabkan gelombang banjir pertama awal minggu ini (lalu), namun langkah segera membaiki kesan hakisan itu telah dibuat,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment