Translate

Saturday, June 1, 2019

UniSZA cipta sejarah lantik 4 pelajar jadi Ahli Senat Universiti

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang me­lantik pelajar sebagai Ahli Senat Universiti.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pelantikan empat pelajar merangkumi dua se­bagai Ahli Senat, manakala dua lagi sebagai pemerhati itu bertujuan meningkatkan penglibatan golongan tersebut dalam pentadbiran serta pengurusan universiti selaras dengan seruan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

“Dua pelajar yang dilantik sebagai Ahli Senat ialah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA, Harun Osman dan Timbalan Presiden II MPP UniSZA, Ahmad Kamil Makhtar.

“Ketua Perhubungan MPP UniSZA, Ahmad Suffian Mohd. Dalizan dan Bendahari II MPP UniSZA, Ain Syazana Zolkepli pula berstatus pemerhati dalam Dewan Senat Universiti ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusi Mesyuarat Se­nat Bulanan UniSZA di sini semalam.

Dewan Senat merupakan badan berkuasa akademik ter­tinggi yang bertanggungjawab mengawal arahan am berhubung pengajaran, penyelidikan, pe­periksaan, penetapan dan pe­ngurniaan ijazah, diploma, sijil dan kepujian lain bagi sesebuah universiti.

Sebelum ini, seramai 45 orang menganggotai Dewan Senat UniSZA dan seperti IPTA lain di negara ini, ia terdiri daripada pengurusan kanan, ketua-ketua fakulti pengajian dan sebahagian pensyarah kanan berpangkat Profesor.

Hassan Basri berkata, pelantikan kesemua pelajar terbabit berstatus ahli dan pemerhati dalam Dewan Senat UniSZA itu berkuat kuasa selama dua tahun atau sehingga tamat pengajian masing-masing.

Menurut beliau, selaku Ahli Senat, Harun dan Ahmad Kamil yang masing-masing merupakan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) dan tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Perakaunan berhak untuk terlibat secara aktif dalam mesyuarat bulanan termasuk menyuarakan panda­ngan dan melakukan undian.

“Kami berharap dapat me­nerima idea-idea baharu dalam pentadbiran universiti sejajar dengan kehendak golongan pelajar selepas ini berikutan pelantikan wakil pelajar dalam Dewan Senat UniSZA ini,” katanya.

Sementara itu, Harun me­nganggap pelantikan beliau dan tiga rakan lain merupakan penghormatan dan pengiktirafan ter­tinggi kepada golongan pelajar oleh pengurusan UniSZA.

“Saya seru IPTA lain di negara ini turut mengambil langkah sama memberi lebih ruang kepada pelajar untuk sama-sama menyumbang idea ke arah kemajuan universiti masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment