KEMAMAN - Gara-gara merempuh seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan, seorang tukang cuci wanita maut manakala anak gadisnya cedera dalam kemalangan di Kilometer 17 Jalan Mak Lagam - Cheneh berhampir Bukit Jemalang dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, Roslina Muhamad, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan sebahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, anak wanita tersebut, Khairunnisa Radin, 21, yang membonceng motosikal jenis Honda Dash berkenaan turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.
"Sewaktu kejadian, dua beranak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru dekat sini dari bandar Chukai di sini.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang Roslina gagal mengelak seekor babi hutan yang tiba-tiba menyeberang jalan lalu merempuh haiwan liar itu," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, rempuhan terbabit menyebabkan Roslina dan anaknya, Khairunnisa tercampak sejauh beberapa meter. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment